Dokumen Standard Prestasi Kemahiran Teknikal (76)

Dokumen Standard Prestasi Kemahiran Teknikal (76)


PENDAHULUAN

Mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu Kemahiran Teknikal merangkumi komponen Reka Bentuk dan Teknologi, Kemahiran Teknikal serta Perniagaan dan Keusahawanan merupakan mata pelajaran teras Tingkatan 1 hingga 3 di Sekolah Menengah Rendah. Mata pelajaran ini yang digubal berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai usaha pendidikan ke arah mempertingkatkan kemahiran teknologi dan keusahawanan dalam usaha membangun modal insan melalui program pendidikan yang berkualiti dan holistik.

Pentaksiran Rujukan Standard bagi mata pelajaran ini merupakan proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu dan boleh buat atau telah menguasai apa yang dipelajari berdasarkan pernyataan standard prestasi yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan mengikut tahap-tahap pencapaian seperti yang dihasratkan oleh kurikulum mata pelajaran ini. Pentaksiran Sekolah dalam bentuk pentaksiran formatif dijalankan seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran atau pentaksiran sumatif di akhir proses pembelajaran. Pentaksiran Pusat dijalankan berdasarkan jadual yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan yang mempunyai standard, panduan dan peraturan, instrumen dan kaedah menganalisis yang akan disediakan oleh Lembaga Peperiksaan.

Dokumen Standard Prestasi bagi mata pelajaran ini dibina dengan komponen teras iaitu Reka Bentuk dan Teknologi  dan komponen elektif iaitu Kemahiran Teknikal sebagai panduan untuk guru membimbing murid dan seterusnya mendapatkan maklumat tentang perkembangan individu serta keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam pembangunan dan pembentukan modal insan.

Adalah diharapkan dokumen ini dapat memberi maklumat yang lengkap dan tepat kepada guru tentang hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan tentang pembinaan modal insan yang berteraskan kepada pembangunan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.



MATLAMAT
Matlamat mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu adalah untuk melahirkan insan yang berdikari, kenal faham teknologi dan ekonomi serta kreatif, berinisiatif dan yakin diri dalam keadaan teknologi yang sentiasa berubah untuk kehidupan harian.

OBJEKTIF MATA PELAJARAN
OM1      Mengamalkan kreativiti, inovasi dan berdaya usaha dalam mereka bentuk dan menghasilkan produk daripada pelbagai bahan seperti kayu, papan lapis dan bahan komposit.
OM2      Mengamalkan sikap peka terhadap masalah sekeliling dan mendapatkan idea daripada pelbagai sumber untuk mereka bentuk dan menghasilkan produk.
OM3      Menjalankan kerja-buat-sendiri, menyenggara dan membaik pulih mudah kerja elektrik dan paip dalam kehidupan harian.
OM4      Menghasilkan arktikel mudah dengan menggunakan mesin jahit.
OM5      Menghasilkan tumbuhan hiasan untuk keceriaan kawasan tertentu.
OM6      Memilih alatan, perkakas dan bahan serta menggunakannya dengan teknik yang betul.
OM7      Mengenal pasti kepentingan perniagaan, perkembangannya pada masa depan yang berciri k-ekonomi dan perniagaan dalam negeri dan antarabangsa.
OM8      Mengenal pasti cabaran dan kejayaan usahawan serta menilai potensi diri dalam bidang keusahawanan.
OM9      Menerangkan faktor utama dalam pengeluaran, kaitannya dengan permintaan dan proses pengeluaran serta membuat pengiraan kos.
OM10    Mengumpul, memproses dan mendokumentasikan maklumat secara bersistem dan menggunakannya dengan bijak dalam membuat keputusan rekaan dan penghasilan projek.
(Dipetik daripada Sukatan Pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu Tingkatan 1 hingga 3 (semakan) Pusat Perkembangan Kurikulum, 2000)
 
OM11    Mengamalkan peraturan dan budaya kerja yang baik dan selamat.



OBJEKTIF PENTAKSIRAN

Berdasarkan matlamat dan objektif mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu, berikut ialah Objektif Pentaksiran (OP) mata pelajaran yang dikenal pasti untuk mentaksir penguasaan murid dalam mempamerkan;

OP1     Kebolehan berdikari dalam menjalankan kerja buat sendiri
OP2     Kenal faham terhadap teknologi yang sentiasa berubah untuk kehidupan harian
OP3     Kenal faham terhadap ekonomi untuk kehidupan harian
OP4     Kebolehan mengaplikasikan kemahiran bagi menghasilkan sesuatu projek / produk
OP5     Kebolehan bagi mengaplikasikan kreativiti untuk mereka bentuk dan menghasilkan sesuatu produk / projek
OP6     Mengamalkan cara bekerja yang sistematik, bijaksana dan dengan teknik yang betul dengan yakin diri
OP7     Kebolehan mendokumentasikan maklumat secara bersistem


TAFSIRAN

o                Band ialah satu label yang digunakan untuk menunjukkan tanda aras tertentu yang disusun secara hierarki digunakan bagi tujuan pelaporan individu.
o                Standard ialah satu pernyataan tentang sesuatu domain merujuk kepada tanda aras tertentu dan bersifat generik bagi memberi gambaran holistik tentang individu.
o                Standard Prestasi ialah pernyataan tentang tahap perkembangan pembelajaran murid yang diukur berdasarkan standard dan menunjukkan di mana kedudukan murid dalam perkembangan pembelajarannya. Perkembangan dalam standard itu terbahagi kepada dua iaitu perkembangan secara mendatar (konstruk) dan perkembangan menegak (band). Pertumbuhan murid dijelaskan dengan satu atau lebih qualifier menggunakan perkataan atau rangkai kata yang betul menggambarkan standard dalam bentuk hasil pembelajaran.
o                Descriptor ialah pernyataan yang menerangkan apa yang murid tahu dan boleh buat berdasarkan standard di mana kualiti boleh ditaksir dan dicapai.
o                Evidence (murid) ialah pernyataan yang menerangkan apa yang murid tahu dan boleh buat bagi sesuatu descriptor.
o                Evidence (bahan) ialah bahan atau apa-apa bentuk bukti yang dapat ditunjukkan oleh murid yang melaksanakan sesuatu tugasan dalam bentuk produk atau proses seperti foto, grafik, artifak dan laporan.
o                Instrumen ialah alat yang digunakan untuk menguji penguasaan atau pencapaian murid bagi sesuatu domain seperti ujian bertulis, ujian secara lisan, demonstrasi dan ujian amali.
o                Pentaksiran Sekolah merupakan pendekatan pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah berdasarkan tugasan, instrumen pentaksiran, peraturan dan penskoran yang dibangunkan oleh sekolah merujuk kepada Dokumen Standard Prestasi yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan.




 



No comments:

Post a Comment